Jumaat, September 12, 2008

Ramadhan dan Solat ( Bahagian 2 )


Alhamdulillah, Wassolatu wassalam ‘ala Rasulillah Wa usulihi Wa Furu’ihi Ajmain.

Alhamdulillah, syukur Kehadrat yang Maha Esa, kita telah masuk ke fasa baru di dalam sepuluh malam yang kedua dengan jayanya. Mudah-mudahan segala perbuatan, perlakuan, percakapan, gerak hati dan perasaan adalah semata-mata ‘ta’abudiah ( Penghambaan ) kepada Allah Taala.

Dalam menempuh fasa kedua ini, seeloknya kita menoleh kebelakang sejenak sebagai muhasabah diri; adakah kita telah menunaikan ibadah kita sewajarnya atau pun masih lagi terdapat lompang-lompang kecil yang menjadi nanah dan kudis buta; atau kita sekadar melakukan ibadah mengikut tradisi ( ikut-ikutan ) semenjak zaman-berzaman dahulu. Di sinilah keindahan Ramadan kerana di dalamnya terdapat berbagai barakah, manfaat, kebaikan dan kesempurnaan yang perlu kita terokai. Barakah dan seumpamanya ini tidak akan memberi makna jika kita hanya melihat tanpa beramal, bercakap tanpa melaksanakan atau bertangguh sehingga luput tarikh masa Ramadan itu sendiri.

Membicarakan bab solat dalam bukan Ramadan, tersangat luas dan besar ruang lingkupnya. Coretan ini hanya sekadar ingin melontarkan sedikit ilmu dan pandangan yang berguna untuk kita sama-sama mengamalkan. Bahkan nabi sendiri bersabda “ Ballighu’ anni walau ayat” ( Sampaikanlah daripadaku berupa pengajaran dan ilmu walau sepotong ayat ). Inilah indahnya Islam yang nabi bawa sejak 1429H dahulu, tiada pemotongan atau kekurangan bahkan menafikan sebarang kecacatan yang timbul.

Solat dari sudut lughah ( bahasa ) iaitu “ doa”. Tidak kira apa jua jenis solat yang kita kerjakan, pastinya kita akan menyebut ungkapan doa di dalamnya. Meneliti sirah nabawi sebagai panduan dan pengajaran; bagaimana nabi yang maksum, tetap mendirikan solat sunat sehingga terkesan di kakinya. Pabila ditanya “ Laula an akuna ‘abdan syakur “ ( Bukankah aku ini dari kalangan orang yang bersyukur!!! ). Terasa kerdil dan hina diri ini jika membelek catatan kehidupan nabi di dalam sirahnya. Adakah kita ini layak untuk mengaku umatnya jika kita tidak sanggup melakukan sepertimana beliau? Adakah kita wajar memohon syurga jika dibandingkan dengan nabi yang telah dijamin syurganya? Dan adakah kita dikategorikan orang yang bersyukur dengan solat lima waktu sahaja jika dibandingkan dengan nabi yang menerima dan mengamalkan solat dengan seluruh jiwa raganya? Ya Allah...Jauhnya kami jika dibandingkan dengan kekasihMu ( Muhammad Al- Amin ).

Ya Rahman, bimbinglah kami dengan Inayah dan IradatMu. Sesungguhnya solat yang dilakukan dengan ilmu dan rasa khusuk serta tawduk akan menahan diri dari melakukan sebarang kemungkaran. Bersolatlah kita sebagaimana nabi bersolat dengan ketertiban, kerendahan, kekhusukkan dan keikhlasan semata kepadaNya bukan dengan sikap keegoan, keriakkan, kegelojohan dan kesombongan. Nilai kemulian solat itu akan terjelma dalam diri jika mahu menilai kembali apakah solat yang selama ini dilakukan sudah memenuhi ciri-ciri yang sepatutnya. Marilah kita mengambil iktibar dalam Ramadan ini sebagai bulan tarbiah/mendidik solat kita agar sempurna dah mendapat ganjaran serta keredaan daripada Allah Taala...Wallahu A’lam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan