Khamis, September 18, 2008

RAMADAN DAN SOLAT ( Bahagian Akhir )

Alhamdulillah…Wa Solatu wa Salam Ala Rasulillah Usulihi wa Furui’hi Ajmain…

Ramadan Syahrul Karim ( Ramadan bulan mulia ). Ungkapan ini tidak dapat disangkal oleh sesiapa pun hatta masyarakat non-muslim ( bukan muslim ). Dari sudut kemuliaan dan ketinggian ini bagi umat Islam memang telah mengetahui melalui pengajian, pembacaan, syarahan agama mahu pun perkhabaran dari mulut ke mulut oleh masyarakat kita. Praktikalnya dapat dilihat melalui amalan-amalan yang dilakukan seperti puasa, solat terawikh, sedekah, mengaji al-Quran, menjaga pertuturan dan perbuatan serta hati. Setiap amalan yang dilakukan dijanjikan ganjaran berlipat kali ganda; bahkan tidur orang yang berpuasa tetap jua dikira sebagai ibadah.


Namun, bagi non-muslim segala bentuk kemuliaan dan janji ganjaran yang berlipat kali ganda ini langsung tidak dipandang, apatah lagi untuk dilaksanakan. Ini kerana mereka masih tetap teguh dengan amalan dan pendirian agama nenek moyang mereka. Alangkah malang sekali masyarakat ini. Sungguhpun demikian, para saintis ( orang cerdik pandai dalam bidang sains ) memandang bahawa puasa yang dilakukan oleh umat Islam membawa kesan kesihatan yang cukup baik. Sekadar menyebutkan sedikit kesan iaitu; memberi ‘kerehatan’ bagi organ-organ pemakan di dalam perut daripada berfungsi seperti biasa. Lebih jauh daripada itu, ibadah solat yang dilakukan mampu membentuk keseimbangan oksigen di dalam tubuh badan manusia.


Inilah hikmahnya apabila Allah memerintahkan umat Islam sejagat untuk melakukan ibadah-ibadah demikian. Bukan sengaja untuk menyusahkan malahan untuk tujuan perubatan dan kesihatan dalam diri manusia itu sendiri. Melihat saja gerak geri dalam perbuatan solat; berdiri, rukuk, sujud, iktidal dan sebagainya memberi impak dan kesan yang baik bukan sahaja dari sudut pengabdian diri kepada Allah sebagai ‘Khaliq” ( pencipta ), juga turut menyelitkan perasaan keinsafan dengan kekerdilan diri apabila berhadapan dengan Allah ketika dalam solat.


Solat yang sempurna adalah sah dari sudut rukun-rukunnya. Salah satu rukun yang perlu dijaga iaitu ‘Thomakninah ‘ ( ketenangan ). Menyentuh hal ini tidak ada kecacatan ketika melaksanakan solat fardhu. Selalunya masyarakat dengan tenang melakukan rukun-rukun solat dengan tertib dan thomakninah yang tinggi. Lain pula halnya apabila melakukan solat terawikh ( sama ada lapan atau dua puluh rakaat ), seolah-olah berlumba mengejar sesuatu di hadapan. Amat malang lagi dengan perasaan megah mengatakan ‘ solat tempat aku selesai setengah jam saja!!!’. Wah, kalau ini yang berlaku agak mendukacitakan dan menyedihkan kita semua. Umum tahu maksud solat terawikh iaitu solat yang didirikan dengan ketenangan, kerehatan dan ketertiban. Dan solat terawikh itu didirikan bukan hanya selepas solat isyak sekitar sejam dua sahaja, bahkan melangkau jangka waktu sebelum laungan azan subuh. Ini bermakna, tidak menjadi kesalahan sekiranya kita melakukan lapan rakaat dan menyambung rakaat seterusnya selepas bangun tidur ( makan sahur ). Bagi diri penulis yang lemah, inilah masanya untuk menikmati solat terawikh dan diikuti dengan solat-solat ‘Nawafil’ ( sunat ) yang lain.


Alangkah indahnya putaran waktu dan masa yang Allah berikan kepada kita. Tinggal lagi kita bijak untuk mengisi waktu yang ada dengan ibadah-ibadah yang sepatutnya. Jadikan Ramadan kali ini bulan ‘tajdid’ ( perubahan ) ke arah kebaikan kepada diri kita semua. Wallahu aklam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan