Dalam tulisan yang lepas kita membincangkan falsafah kehadiran bulan yang mulia iaitu “Ramadan”. Dalam ruangan kali ini kita ingin menelusuri keberkatan Ramadan dan hubungkaitnya dengan solat yang kita kerjakan. Rata-rata masyarakat mengetahui ( Maklum Bi Qharurah ) bahawa solat lima waktu merupakan ibadah wajib; iaitu rukun Islam kedua selepas mengucapkan dua kalimah shahadah.Persoalannya bukan kewajipan yang ingin di utarakan namun keberkatan solat yang kita laksanakan setiap waktu di samping keberadaannya di dalam bulan Ramadan. Keberkatan yang dimaksudkan ini bukan sekadar ganjaran pahala solat lima waktu, ditambah dengan solat rawatib ( solat sunat ) bahkan ada penambahan ( extra ) yang Allah berikan kepada kita dengan tuntutan mengerjakan ‘Solat Terawikh “ setiap malam sepanjang bulan Ramadan. Nah, begitu banyak bonus yang Allah berikan kepada kita. Pastinya, berlipat-lipat kali ganda ganjaran dan pahala bagi orang yang melaksanakan tuntutan ini dengan perasaan khusuk dan tawaduk.
Menyentuh tentang solat terawikh yang dilaksanakan oleh masyarakat kita, sememangnya ada keunikan, kesempurnaan dan kelebihan yang tersendiri yang perlu kita teropong sejenak. Keunikan yang dimaksudkan adalah jumlah bilangan rakaat yang perlu dilaksanakan tidak terhenti setakat lapan ( sebagaimana Nabi lakukan di Masjid ) bahkan sehingga mencecah puluhan rakaat bagi yang mampu. Ada segelintir masyarakat yang melakukan lapan dan ada juga yang melakukan dua puluh rakaat serta disusuli dengan solat witir tiga rakaat. Hikmahnya, bagi yang kurang mampu cukup sekadar melakukan lapan rakaat sahaja dengan mengambil kira sunnah yang nabi lakukan ketika di masjid. Bagi yang ada kemampuan dan bersemangat mampu melakukan dua puluh rakaat sekali gus. Sedikit atau banyak jumlah bilangan rakaat yang dibuat pastinya akan mendapat ganjaran yang setimpal dari Allah Azza Wajalla. Wah, begitu beruntung orang mukmin ketika di dalam bulan Ramadan. Seumpama orang yang bekerja, akan mendapat gaji di akhir bulan setimpal dengan kerja yang dilakukan. Bagi yang ingin membuat kerja lebih masa ( over time ), sudah tentu akan mendapat gaji yang lebih!!! Sudah tentu lumayan pendapatannya di bulan itu.
Ini hanya sekilas perumpamaan kelebihan dunia tapi jika dibandingkan nilai ketinggian dan kenikmatan di akhirat tidak mampu diucap oleh kata-kata malahan tidak tergambar di kotak fikiran manusia yang kerdil ini. Solat lima waktu, diikuti solat sunat rawaatib seterusnya dilaksanakan solat sunat terawikh selepasnya, di dalam bulan Ramadan yang penuh barakah. Masyaallah, luas benar RahmatMu kepada kami Ya Allah. Namun, kesemua itu tadi menuntut kesungguhan ( Mujahadah ) yang tinggi dalam diri manusia.
Justeru, sebaiknya kita merebut peluang keemasan ini tanpa menoleh ke belakang.
Sempena berakhirnya sepuluh malam terawal ( Awalu Rahmah ), marilah kita meningkatkan ketaqwaan dalam diri dan menyambung keazaman agar amal ibadah kita semakin bertambah dan menjadi jambatan kukuh untuk kita meraih sepuluh malam berikutnya ( Aushotuhu ) pertengahan yang dijanjikan “Maghfirah “ oleh Allah Subhanahu Wa Taala..Insyaallah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan