Selasa, September 23, 2008

RAMADAN LAHIRKAN SIFAT TAQWA ( Bahagian Satu )



Alhamdulillah..Wa Solatu Wa Salamu Ala Rasulillah Usulihi Wa Furu’ihi Ajmain.

“Wahai orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana ianya diwajibkan ke atas orang sebelum kamu, semoga kamu bertaqwa kepada Allah SWT”. ( al-Baqarah : 183 ).

Ayat di atas jelas menegaskan kepada kita bahawa perkara yang menjadi asas yang ingin dicapai ialah taqwa. Kalimah ‘taqwa’ bermaksud mengambil tindakan penjagaan dan memelihara dari sesuatu yang mengganggu dan memudaratkan. Menurut syarak, ‘Taqwa’ bererti; “ Menjaga dan memelihara diri dari seksa dan murka Allah dengan jalan melaksanakan perintah-perintah-Nya, taat kepada-Nya dan menjauhi larangan-Nya serta menjauhi perbuatan maksiat’.

Secara keseluruhannya, setiap perlakuan ibadat kita kepada Allah hanyalah untuk mendapatkan ketaqwaan dan keredaan yang sebenar. Nilai ketaqwaan ini bukan dapat diukur melalui pemakaian serban yang besar, jubah yang panjang atau tasbih yang bulat; tetapi ia bersangkut paut dengan urusan hati dalam merencanakan perlakuan yang seiring dengan kehendak Allah SWT. Dalam ibadah puasa, nilai ketaqwaan ini yang ingin dicapai. Ertinya, tujuan berpuasa itu untuk melahirkan semangat insan yang tunduk, patuh, menjaga, dan memelihara diri dari azab seksaan Allah. Jika sekiranya masih kedapatan di antara manusia yang tidak berpuasa ( ponteng ), ini bermakna ketaqwaannya adalah kurang kerana melanggar perintah dan arahan daripada-Nya.

Prof. Dr. Wahbah az-Zuhaili, dalam Tafsir al-Munir, menyebut bahawa ibadah puasa melahirkan ketaqwaan kepada Allah melalui beberapa factor: (1) Puasa mendidik jiwa untuk takut kepada Allah, dalam keadaan sembunyi atau terbuka. Lantaran tiada siapa yang memantau atau memerhati orang yang berpuasa melainkan Allah-Seseorang boleh makan lalu berpura-pura lapar di hadapan manusid tetapi tidak di hadapan Allah. Justeru, Allah adalah Tuhan yang maha mengetahui. (2) Mengekang ketelanjuran ‘syahwat’ dan meringankan pengaruh serta penguasaannya-lantaran puasa melemahkan gelora nafsu. ( 3) Mencetus naluri yang peka ( sensitif ) dan bersifat belas simpati terhadap insan lain-Lapar sewaktu berpuasa adalah mengingatkan kita kepada mereka yang miskin dan yang tidak bernasib baik. (4) Ibadah puasa memahamkan kita pengertian persamaan kedudukan taraf orang-orang kaya dan miskin di sisi Allah. (5) Meletakkan kehidupan insan dan pengurusannya di atas sistem yang benar dan menepati fitrah dan mendisiplinkannya. (6) Memulihkan struktur dalaman tubuh, menguatkan kesihatan dan membebaskan dari sebarang unsur yang memudaratkan jasad.

Rasulullah telah menjelaskan hakikat taqwa dengan sabdanya yang bermaksud; “ Mentaati Allah dan tidak mengingkari perintah-Nya, sentiasa mengingati Allah dan tidak melupai-Nya, bersyukur kepada-Nya. ( Riwayat Imam Bukhari dari Abdullah bin Abbas ). Dalam kita ingin menambah nilai ketaqwaan diri yang semakin merudum, kehadiran Ramadan dapat memugarkan kembali ketaqwaan tadi. Antara yang boleh dilakukan iaitu ‘sedekah’. Sedekah merupakan satu amalan yang cukup mudah dan ringan.Tidak kira orang dewasa mahu pun kanak-kanak mampu melakukannya. Hatta, disebutkan bahawa orang yang senyum itu dikira sedekah!!! Menjenguk realitinya, kenapa masih ramai lagi insan yang amat sukar untuk bersedekah? Sedangkan kita mengetahui nilai dan ganjaran sedekah, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan ini. Adakah sedekah kita hanya sekitar di hari jumaat ketika mengunjungi masjid-masjid? Maka amalan sebegini perlu diubah dan dilontar jauh-jauh.

Hadis nabi yang bermaksud: “ Anas menceritakan; Seorang lelaki bertanya Rasulullah s.a.w; Ya Rasulullah! Apakah sedekah yang paling afdhal? Jawab Rasulullah s.a.w; “ Sedekah pada bulan Ramadhan”. ( Riwayat Imam at-Tirmizi ). Dalam hadis lain Imam Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu Abbas yang menceritakan; “ Rasulullah s.a.w merupakan manusia yang paling pemurah. Baginda menjadi pemurah lagi pada bulan Ramadan tatkala Jibril datang kepada baginda. Jibril datang kepada baginda pada setiap malam di bulan Ramadan untuk bertadarus al-Quran dengan baginda. Sesungguhnya Rasulullah lebih pemurah dari angin lepas ( yakni angin yang bertiup tanpa sekatan/halangan)”.

Inilah ikon sebenarnya kepimpinan melalui tauladan dari junjungan besar Muhammad s.a.w. Bukan hanya laungan kata-kata bahkan ditonjolkan melalui perlakuan agar manusia sejagat turut serta mengikut jejak langkah baginda. Selain itu, baginda juga cukup terkenal dengan menjamu makan sahabat baginda. Ini kerana Ramadan dianggap bulan ‘syahrul muasak’ yang memperluaskan rezeki kepada sesiapa sahaja pada bulan ini dan juga Allah SWT meringankan kepada mereka yang mahu bersedekah. Rasulullah s.a.w. dalam khutbahnya di akhir Syaaban berkata; “ Inilah bulan simpati terhadap sesama manusia. Di bulan inilah rezeki orang-orang beriman bertambah. Barang siapa memberi makan untuk berbuka puasa kepada orang yang berpuasa maka dibalas kepadanya dengan keampunan terhadap dosa-dosanya dan dibebaskan daripada api neraka jahannam. Dan dia juga memperolehi ganjaran yang sama sebagaimana orang yang berpuasa tanpa sedikit pun mengurangi pahala orang yang berpuasa itu”

Alangkah murninya jika kita mampu melakukan sebagaimana nabi lakukan tadi. Sedekah tidak tertumpu hanya kepada golongan kaya sahaja.Bahkan orang kurang berkemampuan juga tidak boleh dinafikan untuk mengamalkannya. Lihat saja nabi, adakah beliau seorang yang memiliki banglo yang bertingkat-tingkat? Atau pun mempunya duit jutaan ringgit? Atau memiliki berpuluh-puluh kenderaan? Cukuplah sekadar dikatakan ‘Yadul ulya khairun min yadul sufla’ ( Tangan yang di atas/orang yang memberi adalah lebih baik dari tangan yang di bawah/menerima ). Mudah-mudahan Allah akan melontarkan sedikit perasaan keinsafan dan keperihatinan untuk kita bersedekah. Jangan tunggu diminta atau sempena hari-hari yang tertentu. Mulakanlah dari bulan Ramadan ini. Bentuklah ‘tranformasi’ ke arah kebaikkan untuk bekalan kita di akhirat kelak. Wallahu aklam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan