Alhamdulillah..Wa Solatu Wa Salamu Ala Rasulillah Usulihi Wa Furu’ihi Ajmain..
Ramadan juga sering dikaitkan dengan panggilan ‘Syahrul Quran’ yang membawa maksud bulan al-Quran. Agak janggal jika kita membicarakan bulan Ramadan tanpa menyentuh dengan pembacaan dan penghayatan dari al-Quran. Di dalam tulisan yang lalu, telah disebutkan sepintas lalu pembacaan al-Quran yang menjadi nadi/denyut jantung di dalam bulan Ramadan. Maka tulisan kali ini akan cuba merangkum segala bentuk kebaikan juga kehebatan buat peringatan dan tatapan muslimin dan muslimat sekelian.
Al-Quran merupakan kitab ‘hidayah’ yang Allah telah turunkan kepada junjungan besar Muhammad s.a.w sejak 1400 dahulu. Berbagai-bagai tafsiran dan definisi yang telah ulama mengaitkan al-Quran. Antaranya al-Quran kitab perundangan ( Permasalah feqh ). Namun, ulama sepakat mengatakan bahawa al-Quran ialah sebuah kitab ‘hidayah’ ( Petunjuk ) kepada manusia sejagat. Ini sejajar dengan pengutusan Allah kepada nabi Muhammad sebagai utusan untuk keseluruh alam ( Manusia, jin, haiwan dan tumbuhan ). Tidak hanya merujuk kepada sebuah kaum tertentu, atau merujuk kepada bahasa tertentu, tidak kepada budaya tertentu dan bukan juga merujuk kepada ahli keluarga tertentu sahaja.
Memang di dalam al-Quran ada menyebut tentang bab perundangan, sosial, kekeluargaan, sejarah, nasihat dan sebagainya tetapi secara umumnya al-Quran itu merupakan sebuah kitab hidayah/petunjuk kepada sekelian makhluk di dalam alam ini. Ini jelas bagaimana nabi sebagaimana yang tersurat di dalam sirahnya membuat ‘khalwat’/memencilkan diri sebagai proses penyucian diri sebelum menerima suatu anugerah yang ‘teramat suci’ dan ‘mulia’. Secara logiknya, jika dilihat bagaimana dari sudut kesusahan, kepayahan dan kegigihan nabi untuk pergi ke gua hira’ yang dicatatkan berbelas-belas kilometer jauhnya sehingga mencecah berbulan lamanya tetap membaca dan mengulangi bacaannya di dalam bulan Ramadan yang mulia. Menuntut keinsafan kepada diri kita, amat jauh dan janggal jika kita menyorot dan mendalami sirah nabi ini. Bahkan boleh dikatakan ( Maaf dipinta ) kita sudah melupai dan tidak mengambil iktibar dan pengajaran dengan sirah di atas tadi.
Buktinya, kita amat jarang untuk menelaah, membaca, mentadabbur, mengkaji, menghayati dan mengamalkan apa yg terkandung di dalamnya.Jika di dalam bulan selain Ramadan kita berbuat demikian apakah jaminannya jika di dalam Bulan Ramadan ini? Mungkin ada yang tidak setuju, namun ini hakikatnyanya. Membaca dan bertadarus di bulan Ramadan amat rancak, namun bagaimana selepas tamatnya bulan Ramadan yang mulia ini? Adakah kita tetap dengan ‘istiqamah’ menyambungnya atau kita telah melupakannya? Atau kita sekadar ‘melepaskan batuk di tangga?’ Adakah kita tidak sedar bagaimana nabi beria-ia menghafal dan melancarkan bacaan al-Quran sehingga dinyatakan oleh Allah bahawa wahyu yang diturunkan terus tertanam di lubuk hati nabi tanpa perlu tergesa-gesa ( La tuharrik lisanaka li ta’jala bih )melazimi/mengulanginya ( al-Qiyamat : 16 ).
Menyentuh tentang al-Quran lagi, rata-rata kita telah didedahkan dengan amalan dan adab-adab tentang al-Quran. Menyentuh segelintir masyarakat umumnya yang kurang perihatin dengan adab dan tatacara ‘muamalah’ dengan al-Quran. Dalam al-Quran surah al-Waqiah ayat: 79 Allah menyebutkan ‘ Laa Yamassuhu Illal Muthohharun ‘ ( Jangan disentuh yakni Al-Quran jika tidak suci/mempunyai wuduk ). Secara terang dan jelas Allah menyebutkan bahawa kita perlu menjaga kesucian dan kemuliaan al-Quran itu sendiri. Ini tidak termasuk al-Quran dengan terjemahan ( tafsir ). Begitu juga dengan adab yang lain;ketika kita membawa dan meletakkan al-Quran. Ulama menjelaskan perlunya al-Quran itu dibawa/dibimbit dari pusat hingga ke atas atau yang lebih mulia sekali jika dijunjung di atas kepala bak ibu-ibu membawa bakul apabila pulang dari pasar. Jangan sewenang-wenangnya dikelek/ditenteng atau dibawa seumpama kita membawa ikan ketika pulang dari membeli belah!!!. Apatah lagi jika kita meletakkan kembali al-Quran mahu pun tafsir al-Quran atau sekecil naskhah Yaasin sekali pun perlu diletakkan dengan sopan dan sempurna. Dan bukan dengan melontar/mencampak tanpa adab dan sopan terhadap ayat suci al-Quran di dalamnya. Bahkan, jika kita membakar al-Quran yang telah lusuh dan buruk pun adab tetap juga dijaga.
Kerana apa tuntutan ini amat ditekankan? Jawapannya mudah sahaja. Kerana al-Quran itu ‘Rahmah’ ( Rahmat ), ‘Syifa’ ( Penyembuh ), dan ‘Nur’ ( Cahaya ). Berbalik dengan Ramadan yang kita sedang lalui ini, perlu kita menjadikan Ramadan ini medan penyucian, rawatan dan penyembuhan dari penyakit ketidaksopanan dan kejahilan yang masih ada dalam diri kita. Syaitan telah dibelenggu dengan ikatan dan rantaian yang kuat. Sejujurnya, perlu kita harungi mainan hawa dan nafsu yang terdidik dengan sifat kedegilan dan kejengkelan ini dengan penyucian dan penawar yang mulia iaitu al-Quran.
Setiap kesusahan itu terdapatnya kesenangan. Memang diakui untuk memulakan sesuatu yang baik amat berat dan lambat. Janganlah, asyik difikirkan kesusahan yang ada pada diri membantutkan untuk kita memperbaiki diri ke arah yang lebih sempurna. Dekatilah al-Quran dan jangan jauhinya, dampinginya dan jangan pinggirkannya. Marilah kita sama-sama, membina azam dan cita-cita baru untuk menjadi sebahagian ‘Jillu al-Quran’ ( Generasi al-Quran ) bermula di Ramadan ini. Terangilah rumah-rumah kita dengan laungan dan dendangan ayat suci al-Quran bukan sekadar menggantung ‘bingkai’ kandungan ayatnya sahaja. Insyaallah, jika rumah kita telah dihiasi dan diterangi dengan ayat-ayat suci al-Quran nescaya ‘kubur-kubur’ kita juga akan ‘disinari’ cahaya ayat suci itu nanti. Wallahu a'lam…
Tiada ulasan:
Catat Ulasan