Sabtu, Januari 24, 2009

Gerhana Matahari


Dalam masa beberapa hari lagi, dunia akan menyaksikan sebuah lagi fenomena gerhana matahari, iaitu Gerhana Matahari Annular atau Gerhana Matahari Cincin.


Pada ketika berlakunya ijtimak di antara Bulan dan Matahari, Bulan akan bergerak betul-betul di hadapan Matahari, lalu mengakibatkan cahaya matahari dihalang daripada sampai ke sesebuah kawasan di Bumi.


Di dalam kes 26 Januari nanti, ia dipanggil Gerhana Matahari Cincin kerana pada ketika itu, saiz bulatan Bulan kelihatan kecil sedikit berbanding saiz bulatan Matahari. Pada waktu puncak gerhana, Bulan akan berada di tengah-tengah, manakala saki baki bulatan matahari akan kelihatan di sekeliling Bulan membentuk seolah-olah sebuah cincin.


Di Malaysia, kita hanya berpeluang menyaksikan gerhana matahari separa sahaja, iaitu hanya sebahagian matahari sahaja yang akan terlindung oleh Bulan.


Di Kuala Lumpur, permulaan gerhana adalah pada jam 4.31 petang, di mana ketika itu, matahari akan mula kelihatan 'sompek' sedikit kerana Bulan sudah mula melindunginya.


Puncak gerhana berlaku pada jam 5.50 petang, di mana 72% matahari akan dilindungi Bulan. Kemudian Bulan akan perlahan-lahan keluar daripada Matahari dan gerhana pun akan tamat pada jam 6.58 petang.


Secara umumnya, suasana tidak akan kelihatan gelap seperti Gerhana Penuh, tetapi kita mungkin akan dapat merasa keadaan seperti redup sedikit, walaupun ketika itu Matahari kelihatan seperti memancar macam biasa di langit.


Kali terakhir rakyat Malaysia menikmati suasana Gerhana Matahari ialah pada tahun 1998, iaitu pada 22 Ogos di mana pada ketika itu, Gerhana Matahari Cincin telah berlaku di tanahair kita.


Islam melihat kejadian ini sebagai satu tanda dari tanda-tanda kekuasaan allah yang diperlihatkan kepada manusia.Para ulamak bersepakat bahawa disunatkan untuk mendirikan solat sunat yang dinamakan solat sunat Khusyuful shamsi atau solat sunat gerhana.


Menurut Syeikh Muhammad bin Umar bin Salimil Bazmul, solat gerhana hukumnya adalah sunat muakkad,maka disunatkan bagi muslimin dan muslimat untuk mengerjakannya. Perkara ini disandarkan melalui sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim dalam sahsiahnya yang bermaksud:

Daripada Aisyah r.a dia bercerita bahawa pada zaman Rasulullah terjadi gerhana matahari, lalu baginda mengerjakan solat bersama orang ramai. Maka baginda berdiri dan memanjangkan waktu berdiri, lalu baginda rukuk dan memanjangkannya. Kemudian baginda berdiri lagi dan memanjangkannya (berdiri yang kedua ini tidak selama berdiri pertama). Setelah itu, baginda rukuk dan memanjangkan rukuk. Rukuknya pada kali ini lebih pendek dari rukuk pertama. Seterusnya baginda sujud dan memanjangkannya. Kemudian baginda mengerjakan pada rakaat kedua seperti apa yang baginda lakukan pada rakaat pertama. Setelah itu baginda balik ketika matahari telah muncul. Lalu baginda memberikan khutbah kepada orang ramai. Baginda memanjatkan pujian dan sanjungan kepada Allah. Setelah itu baginda bersabda:

"Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua macam tanda dari tanda-tanda kekuasaan Allah. Terjadinya gerhana matahari atau bulan itu bukanlah kerana kematian seseorang atau kehidupannya. Maka jikalau kamu melihatnya berdoalah kepada Allah, bertakbirlah, bersedekahlah serta bersembahyanglah".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan