Khamis, September 17, 2009

PERUTUSAN SEMPENA HARI RAYA EIDUL FITRI 1430H

Allahu Akbar,Allahu Akbar,Walillahilham…Salam penuh lebaran diucapkan kepada seluruh rakan-rakan APECER dengan ucapan dan ingatan tulus ikhlas maaf zahir zahir dan batin-Kullu am wa antum bi khair. Sesudah sempurna sebulan kita menahan, mendidik dan mengasuh nafsu di dalam diri kini tika dan saatnya kita merai dan menyambut hari penuh lebaran yang dinanti.

Menginsafi diri dengan merenung kembali ke belakang-sayugia menuntut hati yang sedih dan hiba. Tanggal 13 Ogos 2009 bersamaan 13 Sya’ban 1430H-tarikh yang sudah pastinya akan mengingatkan kita dengan tragedy yang di luar kotak pemikiran-hakikatnya telah termaktub di Luh Mahfuz ;seorang sahabat, rakan, saudara, adik dan anak iaitu MOHD FITRI BIN ASMUIN telah pulang ke rahmatullah. Tidak menyangka sama sekali percakapan, perbincangan dan perdebatan sehari sebelumnya adalah hari terakhir berbicara dengannya ( chatting ). Agak sukar untuk memikirkan ke-rasionalan menghadapi situasi begini, namun hakikatnya kita perlu akur dan pasrah; “sesungguhnya setiap makhluk yang bernyawa pasti akan mati”.Ibarat kata pepatah; Berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang memikul. Mudah-mudahan seluruh kaum keluarga beliau tenang, sabar dan menerima ketentuan Allah dengan keimanan dan ketakwaan kepada-Nya.

Sambutan hari raya tahun ini diteruskan lagi dengan berbagai aktiviti dan program yang telah dirancang sejak awal lagi. Seperti tradisinya-Baraan; akan digerakkan pada hari raya kedua bersama-sama dengan orang tua. Apa yang menariknya beberapa program baru yang pastinya menarik perhatian semua iaitu; Taklimat/penerangan khas tentang aktiviti APECER seusai solat/khutbah hari raya dan Jamuan Hari Raya APECER pada raya ketiga ( malam ke-4). Adalah diharapkan segala urusan dan perancangan yang telah dicoret ini akan membuahkan hasil dan lancar bila tiba saatnya.

Mewakili sekreteriat APECER, sekali lagi diucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Eidul Fitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh rakan-rakan APECER walau di mana anda berada. Berhati-hati di jalan raya, ingat orang yang tersayang dan mudah-mudahan segala amal kebajikan yang kita lakukan di dalam Madrasah Ramadan akan diterima oleh Rabbul Jalil yang Maha Esa...Taqobbalullahu Minna Ya Kareem

Tiada ulasan:

Catat Ulasan