Selasa, Oktober 21, 2008

SELINGKAR RASA

Alhamdulillah.. Wa Solatu Wa Salamu Ala Rasulillahi Ajmain

Meniti hari-hari yang mendatang di bulan Syawal yang mulia ini teringat tentang tanggungjawab yang belum terlaksana iaitu; puasa enam. Mengikut perkiraan di dalam tarikh menunjukkan hampir tamat, entah bila akan habis melakukan ibadah yang sunat ni. Mungkin di kalangan rakan-rakan telah habis melaksanakannya, syabas diucapkan. Kalau ada yang masih belum pun tak mengapa, hanya sekadar puasa sunat ( terpulang nak lakukan atau tidak ).

Tinggalkan dahulu perkara tersebut; penulis merasakan suatu kelainan sejak beberapa hari yang lalu. Pertamanya; maaf dipinta jika sepanjang menulis artikel, ‘terlalu’ panjang untuk dibaca oleh rakan-rakan. Apabila mengadap komputer seperti ada aura dan idea datang mencurah-mencurah. Mungkin telah terbiasa di dalam menulis assignment sebelum ini. Apa pun diucapkan terima kasih kepada para pembaca yang budiman. Sebarang komen dan kritikan dialu-alukan, mungkin ada bahasa atau tulisan yang menyinggung perasaan rakan-rakan.

Kedua; apabila membuka saja blog ‘cerbonboy’ terasa suatu perasaan yang sukar digambarkan oleh kata-kata. Senang kata, penulis berasa berbangga, terharu, gembira dan lain-lain lagi dengan rating, komen gambar-gambar dan komuniti yang melayari semakin hari semakin meningkat. Syabas diucapkan kepada rakan-rakan sekelian. Dengan usaha sedemikian menampakkan usaha yang murni di dalam meluaskan jaringan komunikasi di antara anak-anak kg cerbon di samping mendapatkan maklumat dan isu-isu terkini dari kg cerbon.

Ketiga; apabila melihat komen di dalam ‘Cbox’, penulis membaca berbagai-bagai komen daripada rakan-rakan. Memang agak rencam dengan pelbagai kehangatan emosi yang bergelodak. Namun, perlu diingat blog tersebut diwujudkan bukan tujuan untuk menghentam dan memalukan sesiapa hatta mengangkat diri sebagai juara dalam pelbagai isu. Segala komen, tulisan dan teguran yang dilontar hendaklah dilihat dalam bentuk yang positif dengan tujuan untuk membentuk jiwa, sahsiah dan kepedulian sesama kita dan juga terhadap masyarakat kg cerbon. Perlu diletakkan sikap ‘berlapang dada’ ketika memberi dan menerima kritikan sesama rakan. Penulis juga bersikap demikian, andai ada terlajak kata, terguris rasa dan terketuk di mana-mana harapnya dimaafkan. Sikap manusia tidak sunyi daripada kesilapan dan kesalahan.

Akhirnya; penulis juga sedar bahawa diri ini pun belum lagi sempurna. Tetapi, dalam proses menuju kesempurnaan itu kita jangan melupakan rakan-rakan kita yang lain sambil mengajak ke arah kebaikan bersama. Berpegang dengan konsep surah al-asr: 4 ‘ berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran’ merupakan jalan yang terbaik bagi membina jalinan kekitaan, kesamaan, kebertanggungjawaban serta kebersamaan di kalangan anak-anak kg cerbon. Semoga usaha murni sebegini tidak menjadikan kita bermusuhan dan perpecahan. Bak kata pepatah ‘bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat’. Wallahu A’lam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan