Alhamdulillah…Wa Solatu Wa Salamu Ala Rasulillah Ajmain
Entah mengapa tiba-tiba saja bersarang beberapa persoalan yang ingin diluahkan di dalam tulisan kali ini. Akan tetapi, penulis tidak menemui ‘domain’ atau ‘punca’ yang kuat untuk melabelkan tajuk di dalam artikel ini. Puas juga dikerahkan kepala otak untuk mencarinya, tetapi gagal. Harap, rakan-rakan dapat memberi sumbangan idea dan buah fikiran yang bernas bagi menyelesaikan kemusykilan ini.
Kehidupan di rantau orang sememangnya ‘agak’ menyukarkan lebih-lebih lagi berjauhan dari keluarga tercinta dan ‘si dia’. Bukan tidak pernah, tetapi entah kenapa sejak berhijrah ke sini beberapa bulan lalu sememangnya menuntut kesungguhan, kegigihan dan pengorbanan yang tinggi. Apa pun, bak kata orang ‘ jauh perjalanan, luas pemandangan/pengalaman’. Dakwaan ini sememangnya tidak mampu disangkal dan ditolak.
Penulis ingin berkongsi perasaan dengan rakan-rakan sekelian beberapa pengalaman yang dikutip. Pertama; nilai hidup beragama di sini. Menyentuh soal hidup beragama, bukan bererti masyarakat kg kita tidak melaksanakan tuntutan agama tetapi ‘agak’ kurang berbanding dengan yang lain. Ambil saja satu contoh yang paling mudah, iaitu solat berjemaah. Solat berjemaah yang kita ketahui mempunyai berpuluh-puluh ganjaran jika dibandingkan dengan solat bersendirian. Persoalannya, kenapa kita masih agak ‘liat’ untuk bertandang apabila mendengar seruan azan dilaungkan? Mungkin jeneral syaitan begitu kuat merantai kaki dan hati dari pergi menunaikan tuntutan fardu kifayah tersebut.
Penulis di sini merasakan bahawa, suasana yang serupa dengan kg kita. Tetapi apa yang menariknya, solat berjemaah di surau berdekatan tempat tinggal penulis tetap utuh dan segar dengan laungan azan dan solat berjemaah lima waktu meskipun sekadar seorang jemaah sahaja!!! Keserupaan yang dimaksudkan iaitu, hilangnya kaum muda yang dikatakan ‘pemuda harapan bangsa’ untuk turut serta. Ke manakah mereka ini pergi? Otak penulis ligat memikirkan keadaan yang sama di kg kita. Apa akan jadi jika 10 atau 20 tahun akan datang di mana ayah-ayah kita telah uzur atau mungkin ada yang meninggal dunia. Siapa akan menjadi penganti menjadi imam/bilal? Siapa yang akan bertanggungjawab membaca tahlil arwah di surau/di rumah dan talkin di kubur? Ah, sedihnya....
Keduanya; beberapa hari lalu penulis berborak dengan seorang rakan menerusi YM tentang program kutipan/sumbangan yang sedang kita jalankan. Program sebelumnya dilihat menunjukkan keberhasilan yang baik tetapi ada sedikit ‘kepelikkan’. Maksudnya ( maaf dipinta ), ada di kalangan rakan-rakan yang pada awalnya menunjukkan sikap yang positif terhadap program tersebut akan tetapi ‘kelam’ di penghujungnya ( menghulurkan sumbangan ). Bagi penulis, mungkin rakan-rakan belum berkesempatan atau terlupa. Tidak mengapalah, asalkan dapat menyumbang walaupun lewat. Ini kerana kita akan meneruskan program seterusnya berdasarkan resolusi yang telah kita bincangkan sebelum ini.
Selain itu, penulis bertanyakan lagi tentang bentuk pemikiran kita sekarang dalam soal sumbangan/kutipan. Adakah setiap sumbangan yang kita hulurkan perlu kita lihat natijahnya dalam bentuk yang wujud dan nyata? Kalau pemikiran kita masih lagi mahu bertanyakan secara terperinci, seolah-olah kita mempersoalkan tentang wang sumbangan/sedekah kita untuk beli apa, ke mana ia disalurkan dan apa yang aku dapat daripada sumbangan tadi!!! Ada sesetengah perkara boleh begitu dan jangan disama ratakan dengan yang lain. Sebabnya, segala bentuk sumbangan yang kita hulurkan insyaallah akan mendapat ganjaran yang setimpal daripada Allah ( al- Zalzalah : 7 ). Ini janji yang telah nyata dan jelas. Tinggal lagi, cara dan bentuk tindakan yang diambil untuk menguruskan wang tersebut berdasarkan situasi dan keadaan yang memerlukan. Saya membuat contoh begini; apabila kita membayar zakat, adakah kita bertanyakan untuk dijadikan apa ( rumah/bangunan/biasiswa ) wang tadi? Atau kita menderma/sedekah/sumbangan di masjid pada hari jumaat; adakah kita tanya ke mana wang itu tadi?
Mungkin ada rakan-rakan yang tidak bersetuju dengan pendapat saya. Namun saya tidak berkecil hati dan berdendam. Malah, saya menerima keputusan ramai/majoriti segala tindakan yang sewajarnya. Soalan saya yang terakhir kepada rakan tadi; kita nak buat kutipan lagi setiap bulan mulai raya korban nanti. Apa yang menakutkan saya, adakah kita boleh memberikan komitmen yang sangat baik di samping bagaimana mekanisme untuk mengumpulkan wang tersebut. Pada pemikiran penulis, program ini mampu berjalan dengan jayanya jika kita mampu mengumpulkan sejumlah rakan-rakan yang komited dan progresif untuk menabung setiap bulan. Kalau dapat seramai 30 orang pun kita mampu untuk mengutip RM300 sebulan( RM 10 x 30 org ), manakala setahun jumlah terkumpul sebanyak RM3600.
Akhirnya; dari sejumlah tabungan yang dikumpul itu tadi kita boleh mengerakkan serba sedikit beberapa program di kg seperti bantuan kecemasan, bayaran kelas pengajian di surau, membeli peralatan gejobos , kelas tuisyen , kelengkapan kematian dan lain-lain. Semua ini perlukan percambahan pemikiran dan penghalusan setiap aktiviti yang ingin dilaksanakan. Mudah-mudahan segala usaha yang murni ini akan mendapat limpahan rahmat dan keberkatan dari-Nya…Amin. Wallahu A’lam.