Selasa, Mei 15, 2012

KAKAK TUA YANG DIAM

Hamdi cukup berminat dengan burung kakak tua. Minatnya bermula ketika dia hadir ke rumah sepupunya Ahmad yang membela seekor burung kakak tua yang boleh bercakap. Melihat dan mendengar celoteh burung kakak tua kepunyaan Ahmad itu, menyebabkan Hamdi menanam cita-cita untuk membeli seekor burung kakak tua.

Pada suatu petang, dia telah ke bandar untuk membeli seekor burung kakak tua. Apabila sampai di kedai menjual burung, dia dapati dalam kedai itu terdapat dua ekor burung kakak tua. Diperhatikan, satunya sering menyanyi, dan yang satu lagi hanya diamkan diri sahaja.

"Tuan, berapa harga burung kakak tua ini?" Soal Hamdi sambil mengisyaratkan kepada buruk kakak tua yang sering menyanyi.

"Yang ini harganya RM500 sahaja," jawabnya ringkas.
 

Dalam fikiran Hamdi, mungkin burung kakak tua yang diam itu lebih murah, kerana mesti burung kakak tua yang pandai menyanyi lebih mahal.

"Oooo.. yang diam ni pula, berapa pula harganya?" soal Hamdi untuk kepastian harga.

"Yang ni, harganya RM1000"

"Aikkk.. kenapa yang diam ni lebih mahal berbanding yang pandai menyanyi." Hamdi terkejut bertanya.

"Yaa... sebab yang diam ni adalah pencipta lagunya" jawab tuan kedai itu selamber.
 

Sekian, Wallahu 'Alam

Rabu, Mei 09, 2012

OH TUHAN, KAU SEMEMANGNYA WUJUD

Marzuki tidak mempercayai kewujudan tuhan. Walaupun dari keluarga beragama, tetapi hati kecilnya sering mempertikaikan tindakan ibu bapanya yang sering menunaikan solat. Padanya, menunaikan solat adalah kerja buang masa; menyembah sesuatu yang sebenarnya tiada.

Apabila ibu atau bapanya menyuruh dia menunaikan solat. Dia akan masuk ke dalam bilik dan tutup pintu rapat-rapat. Dia diam dalam bilik dengan tidur sahaja. Apabila ibunya bertanya, apakah dia sudah menunaikan solat. Tanpa timbul perasaan bersalah, dia menipu ibunya dengan menyatakan bahawa dia sudah menunaikan solat.

Ternyata Allah maha berkuasa. Pergerakan hati itu dibawah kekuasaan-Nya. Dia memberi hidayah kepada siapa yang Dia sayang. Mereka yang terpilih, wajar bersyukur kepada-Nya.

Marzuki ditimpa kemalangan yang agak hebat. Dia dimasukkan dalam hospital. Dia koma hampir seminggu.

Ketika dalam wad, dia dijaga oleh seorang jururawat berpakaian muslimat. Wajahnya ayu, cantik dan menawan. Melihat kepada gaya bercakap dan tingkah laku jururawat itu, hati marzuki mula terusik. Hatinya mula tertarik.

Jururawat itu bernama Aminah. Apabila jururawat lain merawatnya, hatinya sering merasa “frust”. Namun, melihat Aminah, hatinya cukup berbunga kegirangan dan gembira sekali.

Dia menanam hasrat untuk memperisterikan Aminah, namun tidak tahu bagaimana hendak menyampaikan kepada Aminah akan hasrat hatinya. Dia sentiasa berharap agar suatu masa nanti, dia Berjaya menyatakan hasratnya kepada Aminah, seterusnya memperisterikan Aminah. Cinta Marzuki suci. Cintanya tidak mengharapkan balasan.

Dalam rindu dendam sering berlegar dalam diri Marzuki, satu hari Aminah dilihat dikunjungi seorang jejaka. Melihat keadaan itu, perasaan cemburu mula tertimbul dalam diri Marzuki. Hatinya tidak tenang melihat keadaan itu.

Dia mula merisik dan bertanya khabar tentang hal itu. Ternyata, berita yang dia dapat bahawa Aminah sudah bertunang. Dia pasrah dengan berita itu.

Hatinya begitu remuk sekali. Sedih dan pasrah semakin menekan jiwanya. Dalam keadaan begitu, tidak semena-mena, hati kecilnya berdoa, “wahai Tuhan, kuatkan hatiku ini”

Setelah mengungkapkan doa itu, dia tersentak. Dia terkejut, dalam keadaan tanpa dia sedari, dia telah mengakui bahawa kewujudan Tuhan. Ternyata, tuhan itu tidak boleh dibuang dalam hidup manusia.

Manusia lupa tuhan, malahan boleh menganggap tiada, ketika mereka dalam kesenangan. Tetapi, dikala mereka susah, tanpa mereka sedari, tuhan yang mereka tolak itu adalah tempat mereka memohon harap.

Wahai Tuhan !! kuatkan iman kami.. Amin..

Sekian

Wallahu alam.