TABUNG KEBAJIKAN / TAKAFUL KEBAJIKAN
Alhamdulillah..Wa Solatu Wa Salamu A’la Rasulillah Usulihi Wa Furu’ihi Ajmain.
Alhamdulillah..Wa Solatu Wa Salamu A’la Rasulillah Usulihi Wa Furu’ihi Ajmain.
Bersyukur ke hadrat Ilahi, kita masih lagi diberikan nikmat iman dan Islam sebagi akar tunjang yang mengikat kukuh ubudiah kita terhadap Rabbul Jalil. Selawat dan salam ke atas junjungan besar khatimin nabiin karim Muhammad bin Abdullah, sebagai ikutan, idola, pembimbing dan penyelamat manusia di dunia ini.
Beberapa keluaran artikel lalu, penulis ada melontarkan cadangan bagi mengisi ‘tabung kebajikan’ APECER. Antaranya; sumbangan/derma atau apa jua namanya kepada setiap ahli/bukan ahli, atau sesiapa yang berniat ke arah itu. Sumbangan yang menitipkan nilai bulanan sebanyak RM10 sedikit sebanyak akan memberi manfaat dalam mengadakan sebuah program yang dirangkakan. Menghimpunkan sejumlah rakan APECER yang komited di dalam usaha ini, tentu akan menyaksikan poket tabungan akan berkembang. Namun apakan daya, beberapa usaha dan gerak kerja memikirkan cara terbaik dan mekanisme yang sempurna di dalam pengumpulan dana ini agak terumbang-ambing.
Mungkin cara yang agak praktikal; by hand dan bank-in ini dilihat mampu untuk membantu, tetapi hasilnya belum lagi berkesan. Ada juga cadangan agar dibuat dalam bentuk potongan melalui sms ( program reality seperti dalam televisyen ), pun agak kurang respon positif cadangan tersebut.
Sengaja penulis menukilkan kembali persoalan ini agar rakan-rakan APECER dapat memberi komentar/cadangan/kritikan yang membina agar tabung kebajikan yang diwujudkan mampu untuk disebar luaskan penggunaannya. Sebenarnya, tujuan lain artikel ini ditulis untuk membuka minda kita bersama; mampukah tabung kebajikan ini menjadi seumpama ‘takaful kebajikan?’.
Secara ringkas ‘takaful’ bermaksud memenuhi/melengkapi antara satu sama lain. Dalam istilah arabiah takaful ( di atas wazan takafala, watakafalu ), melengkapi keperluan di antara individu yang lain. Mengambil konsep perjalanan takaful di Malaysia ini, contohnya jika kita menabung sebanyak RM100, bermakna nisbah yang dibuat iaitu 40:60 atau 30:70 ( 30: individu dan 70: tabungan ).
Apa yang ingin penulis kaitkan dengan maksud di atas adalah konsep tabungan 70%( dana terkumpul ) tersebut mampu digunakan untuk membantu rakan-rakan yang memerlukan, kepelbagaian program dan aktiviti misalnya membeli peralatan kematian, sumbangan ikhlas khairat kematian, pinjaman ( Qardul Hasan ) dan seumpamanya.
Semua ini bergantung kepada sejauhmana kita mampu untuk mendisiplinkan diri melunaskan tanggungjawab ( menderma RM10 ) setiap bulan. Jika segala persoalan ini berjalan lancar, nescaya kita mampu mempunyai dana yang mampan dan kukuh serta program-program kebajikan dapat diusahakan dengan mudah dan berkesan. Marilah kita bersama-sama merenung sejenak akan manfaat yang kita mampu peroleh di masa akan datang. Ke Hadrat Ilahi, dipanjat segala permohonan agar segala niat dan agenda murni ini akan menuju jalan yang lurus/kejayaan ( Ihdinas Siratol Mustaqim )…Wallahu A’lam